Pengunjung setia

Wednesday, April 17, 2013

AL-FATIHAH

AL-FATIHAH  buat Allahyarham Hj. Mohd Yassin Ahmad  yang telah kembali kerahmatullah pada 16 April 2013 bersamaan 5 J. Akhir 1434H di Melaka. Serasa baru sahaja bersama dan bertemu dengan Allahyarham iaitu semasa Majlis pelancaran buku beliau di ASWARA iaitu pada 25 Mac yang lalu. Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan dirahmat ALLAH SWT. Amin....



Allahyarham Bersama Urusetia Majlis Pelancaran Citra Karya

 Allahyarham Haji Mohd Yasin Bin Ahmad;


Allahyarham Haji Mohd Yasin Ahmad
 Haji Mohd Yasin Bin Ahmad dilahirkan di Serkam, Melaka pada 15 Mei 1947. Beliau merupakan seorang guru sebelum bersara pada tahun 2003. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka selama 20 tahun. Beliau aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti menjadi Naib Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Melaka, Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Ketua Satu Persatuan Pelukis Negeri Melaka dan Jurulatih nazam di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA).

Haji Mohd Yasin mempunyai pengalaman yang amat luas dalam kegiatan seni. Dalam dunia lakonan, beliau pernah mewakili Melaka dalam pertandingan-pertandingan drama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam tahun 1960-an hingga 1970-an. Beliau juga berpengalaman menjadi pelakon drama Radio Malaysia Melaka dari tahun 1970-an hinggalah sekarang. Selain itu, beliau juga pernah terlibat sebagai pelakon dalam drama TV. Dalam bidang tarian, beliau menjadi jurulatih tarian Negeri Melaka dalam tahun 1960-an dan 1970- an, selain juga mewakili Melaka dalam pertandingan-pertandingan tarian anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun yang sama, serta juga menjadi pengadil pertandingan tarian anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Melaka sehingga kini. 
Dalam bidang seni lukis pula, beliau pernah menyertai pameran-pameran lukisan yang diadakan di Melaka, menjadi pengadil bagi pertandingan-pertandingan melukis yang diadakan di Melaka. Selain itu, Haji Mohd Yasin juga pernah menjadi pemeriksa, Ketua Pasukan dan Ketua Pemeriksa Bersama bagi mata pelajaran Lukisan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1979 hingga 2003. Beliau juga bertanggungjawab mengembangkan puisi lama jati diri Melaka, seni nazam bersama-sama ISMMA hinggalah sekarang, selain turut terlibat menjadi pengadil Pertandingan Nazam Peringkat Sekolah, DUN dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka serta juga menjadi Karyawan Tamu (nazam dan pantun) di ASWARA pada tahun 2010 selama tiga bulan. 
Haji Mohd Yasin turut aktif dalam bidang penulisan. Beliau menulis buku Dondang Sayang terbitan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (ISKEP), mengarang nazam, pantun dan syair untuk kerajaan Negeri Melaka dalam majlis rasmi dan penerbitan buku. Beliau juga pernah menjadi panel penerbitan buku Pendidikan Seni oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, selain turut menulis buku pantun berjudul Pantun Jiwa Masyarakat Melayu. Beliau juga menulis dan membentangkan kertas kerja berkaitan dengan Puisi Melayu Klasik dan tarian Jati Diri Melaka.
Hasil penglibatan aktif dalam bidang pendidikan dan seni, beliau telah menerima pelbagai anugerah. Antaranya ialah Anugerah Pengarah Pelajaran Negeri Melaka pada tahun 1992, Anugerah Penggerak Budaya Negeri Melaka pada tahun 1997. Beliau juga dianugerahkan pingat dan bintang kebesaran Negeri Melaka, iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 1986, Pingat Bakti Belia (PBB) pada 1996, Bintang Khidmat Terpuji (BKT) 1999 dan Jaksa Pendamai (JP) pada 2005. 
 P/s: Buku yang telah dihasilkan oleh Allahyarham dan diterbitkan oleh Penerbit Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan.

2 comments:

  1. Assalamualaikum wrt..

    saya adelah ank kepada haji mohd yasin ahmad. terima kasih sebab akk sudi menulis biodata arwah ayah di dalam blog akk ni. terima kasih jgk sbb menghargai segala penat lelah ayah dalam bidang seni. doakan arwah ayah ditempatkan di kalangan org2 yang beriman.. terima kasih lagi . =)

    nurul 'ain mohd yasin

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam,

    Salam perkenalan, insyaallah semoga arwah ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman... amin

    ReplyDelete